Kamis, 11 November 2010

Tanaman Orkid

Tanaman Orkid


Orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu famili yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 808 spesies orkid di Malaysia.
Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Walau bagaimanapun, bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan atau dilihat untuk mengenalpasti genus tanaman orkid. Secara umum, orkid komersil boleh dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar, iaitu orkid simpodium dan monopodium.
Simpodium adalah cara pertumbuhan yang berakhir dengan pengeluaran bunga. Orkid dalam kumpulan ini boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial). Batang pokok berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Ia mempunyai bebawang semu yang panjang beruas-ruas atau pendek tanpa beruas. Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang. Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium.
Monopodium adalah cara pertumbuhan yang tidak berakhir dengan pengeluaran bunga. Batangnya kecil dan diliputi oleh upih-upih daun. Akar udara yang keluar daripada batang terpaksa menembusi upih daun. Batang orkid monopodium tidak bercabang dan boleh mengeluarkan tunas-tunas baru selepas dipotong. Keratan batang kemudian di tanam di dalam pasu di atas tanah yang tidak lembab. Genus-genus komersil yang terdapat di dalam kumpulan monopodium ialah Venda, Arachnis, Renanthera, Aranda dan Mokara.
Jangkamasa matang bagi setiap orkid berbeza-beza antara genus, spesis, hibrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis dan varieti. Pada kebiasaanya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa 1-3 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4-12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut di ambil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar